PENGURUS Chelsea, Luiz Felipe Scolari menyifatkan tentangan dipamerkan Malaysia sebagai yang terbaik sepanjang siri Jelajah Asia 2008 apabila barisannya sekadar mampu menang 2-0, jurang paling kecil berbanding dua aksi terdahulu.Sambil berharap anak buahnya tidak ditimpa kecederaan kerana beraksi di atas padang tidak rata, Scolari mengakui aksi kental Malaysia memaksa anak buahnya mengerah segenap tenaga beraksi di depan lebih 50,000 peminat tuan rumah.
“Malaysia lawan paling sukar berbanding dua kelab China, tapi saya gembira kerana pemain Chelsea mengeluarkan segala yang mereka miliki pada perlawanan ini.“Sekalipun hanya aksi ujian, ianya penting kerana selepas ini kami akan menyertai Railway Cup di Russia.
“Beberapa aspek pemain Chelsea kian baik terutamanya kecergasan dan keyakinan, selain peningkatan persefahaman Deco dan (Franco) Di Santo dengan barisan sedia ada. Saya harap momentum ini berterusan sebelum sepak mula musim depan, 17 Ogos nanti,” katanya.
Mengulas prestasi Malaysia, pengendali kelahiran Brazil itu menyifatkan kualiti skuad ranking ke-166 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kian baik berbanding 2002.
“Saya masih ingat, ketika menjadi pengurus Brazil pada 2002, Malaysia memberi tentangan sukar hingga ketandusan jaringan selepas babak pertama. Tapi, akhirnya kami menang, 4-0.
“Kini, Chelsea hanya menang 2-0 ke atas Malaysia, tapi dalam bola sepak, ianya normal. Apapun, saya akui Malaysia lawan paling sukar sepanjang Jelajah Asia,” katanya.
Selepas ini, barisan Blues itu, naib juara Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga, dijadualkan menentang kelab Russia, Locomotiv Moscow, Jumaat ini sebelum menyertai Railway Cup yang turut disertai empat kelab ternama.