Thursday, December 11, 2008

Ronaldo terima padah



CRISTIANO RONALDO menandatangani autograf sebaik tiba di Paris Ahad lalu.

LONDON - Suami kepada kekasih baru bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo memberi amaran kepada pemain bola sepak berkenaan supaya berhati-hati dengan wanita tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki tersebut, John Haynes menasihati Ronaldo supaya menjauhi isterinya, Alyona kerana wanita itu seorang pembohong dan pandai berlakon.

"Alyona membohongi saya dan juga Ronaldo. Dia sepatutnya didatangkan dengan amaran kesihatan seperti yang anda jumpa pada kotak rokok," katanya.

Haynes, 50, berkata, isterinya pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ronaldo ketika mereka sedang berasmara.

Jutawan tersebut percaya Alyona, 25, menipu Ronaldo dengan mendakwa dia masih bujang semata-mata untuk menghampiri pemain itu.

"Saya sukar mempercayainya, bahawa Alyona memberitahu Ronaldo dan seluruh dunia bahawa kami sudah lama berpisah," ujarnya.

Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu selepas berjumpa melalui sebuah laman web pencari jodoh tetapi hubungan mereka mula renggang selepas Alyona bertemu Ronaldo di sebuah restoran pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, Haynes tidak menyalahkan Ronaldo berhubung perkara itu dan percaya pemain tersebut tidak mengetahui bahawa Alyona sudah berkahwin.

"Saya yakin Alyona sengaja menggoda Ronaldo kerana dia kenal siapa pemain itu. Isteri saya seorang yang licik saya tidak mengetahui apa rancangannya selepas ini," katanya.

Torres Pilihan Peminat Malaysia


Peminat bola sepak di negara ini telah memilih penyerang pasukan Liverpool Fernando Torres sebagai pemain pilihan utama mereka, menurut hasil kajian terbaru Barclays Global yang dikeluarkan, semalam.

Kajian tersebut yang melibatkan 32,000 respondan dari 185 negara, menunjukkan Torres, pemain Sepanyol, menerima 44 peratus undian dari peminat Malaysia diikuti penyerang Manchester United Christiano Ronaldo (43 peratus) dan pemain tengah Liverpool Steven Gerrald yang menerima 35 peratus undian.

Pemain lagenda Manchester United (MU) Eric Cantona menerima undian sebanyak 37 peratus sebagai pemain pilihan sepanjang masa, mengatasi penyerang Barcelona Thierry Henry (30 peratus) dan bekas pemain MU David Beckham.

Kajian yang dijalankan oleh Barclays, penaja rasmi Liga Perdana Inggeris, menunjukkan peminat Malaysia telah memilih Sir Alex Ferguson sebagai pengurus pilihan (37 peratus), Stadium Old Trafford sebagai gelanggang pilihan dan pasukan MU sebagai kelab pilihan.

Selain itu, 60 peratus peminat di negara ini juga ingin melihat penyerang Barcelona Lionel Messi (Argentina) beraksi pada EPL.

Kajian itu juga menunjukkan secara purata peminat Malaysia menghabiskan masa lebih lima jam dalam seminggu untuk mengikuti perlawanan EPL dengan 88 peratus menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi televisyen manakala 24 peratus peminat menggunakan internet untuk melihat aksi-aksi utama perlawanan.

Menurut Barclays, bola sepak menjadi 91 peratus topik perbualan di kalangan rakan diikuti tajuk am (40 peratus) dan politik (39 peratus) manakala sukan itu menduduki tangga kedua dalam kehidupan peminat berbanding aktiviti kekeluargaan.