RONALDO dan Marta megah bersama trofi Pemain Terbaik Dunia- Fifa 2008 yang mereka menangi di Zurich, awal pagi semalam. |
Ketepikan Messi jadi pemain kedua Portugal miliki anugerah selepas Figo
Bintang bola sepak Manchester United dan Portugal, Cristiano Ronaldo dinobatkan selaku Pemain Terbaik Dunia-Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2008, awal pagi semalam.
Ronaldo yang juga memperoleh Ballon d'Or selaku Pemain Terbaik Eropah 2008 - satu lagi gelaran berprestij dunia bola sepak - menidakkan impian pemenang gelaran 2007, Kaka (Brazil), Lionel Messi (Argentina), Fernando Torres (Sepanyol) dan Xavi (Sepanyol).
"Menjulang piala Liga Juara-Juara Eropah menjadi detik paling manis yang tidak boleh dilupakan pada 2008," katanya yang menjaringkan gol pada saingan akhir itu tetapi sepakan penaltinya tersasar sewaktu menentang Chelsea.
Sementara itu, pemain tengah Brazil, Marta diumumkan selaku pemain bola sepak terbaik wanita buat kali ketiga berturut-turut.
Ronaldo muncul pemain Portugal kedua meraih anugerah tertinggi Fifa itu selepas Luis Figo pada 2001 dan pemain pertama yang bermain untuk kelab Inggeris. Dia mendapat 935 mata hasil undian jurulatih dan ketua pasukan kebangsaan 155 negara yang mengambil bahagian.
Messi berada di tempat kedua (678 mata) diikuti Torres (203), Kaka (183) dan Xavi (155).
Ronaldo kemudian meneruskan ucapannya dengan pujian melangit terhadap pengurus pasukan United, Alex Ferguson selepas hubungan mereka kelihatan tegang sewaktu musim panas lalu berhubung desas-desus dia mahu meninggalkan kelab England itu untuk mewakili Real Madrid.
"Memang terbukti bahawa pengurus sentiasa memainkan peranan penting," kata Ronaldo. Ia menjadi musim yang hebat bagi saya serta kelab dan jurulatih amat penting bagi saya kerana saya banyak belajar daripadanya.
"Ini menjadi kemuncak era yang menakjubkan buat saya. Saya amat gembira dan bangga terhadap apa yang dilakukan dan segala kemenangan yang diraih. Saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada lembaran sejarah sebuah kelab seperti Manchester United