Wednesday, November 12, 2008

Kisah bekas isteri Abramovich



GAMBAR menunjukkan Abramovich bersama Zhukova di Stadium Bloomfield, Israel
31 Januari lalu.


LONDON - Berkahwin dengan bilionair terkenal seperti pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich mungkin dianggap sebagai mimpi menjadi kenyataan oleh kebanyakan wanita di dunia.

Bagaimanapun, sebuah akhbar semalam mendedahkan bekas isteri Abramovich, Irina menyatakan bahawa perkahwinannya dengan bilionair dari Rusia tersebut umpama satu mimpi ngeri.

Irina berkata, sepanjang 16 tahun, perkahwinannya dengan Abramovich diselubungi dengan ketakutan kerana dia bimbang lima anaknya menjadi sasaran penculik.

"Kehidupan saya dengan Abramovich bukanlah seindah umpama cerita dongeng seperti yang dilaporkan oleh media," kata Irina.

Irina, 41, berkenalan dengan Abramovich yang merupakan antara individu terkaya di dunia ketika dia bekerja sebagai pramugari.

Menurut majalah Forbes, pada 5 Mac 2008, harta Abramovich dianggarkan berjumlah AS$23.5 bilion (RM84.43 bilion) tetapi kini, hartanya menyusut kepada AS$20 bilion (RM71.87 bilion) akibat krisis kewangan global.

Abramovich juga dilaporkan mengalami kerugian sebanyak £12 bilion (RM65.76 bilion) di pasaran saham Rusia selepas Index Micex jatuh mendadak baru-baru ini.

Menurut Irina, keluarganya sering dilindungi oleh sekumpulan pengawal peribadi bagi melindungi mereka daripada penculik.

"Untuk keselamatan saya dan lebih penting lagi anak-anak kami, Abramovich mengupah sekumpulan pengawal peribadi sebuah agensi keselamatan," jelasnya.


RINA bercerai dengan Abramovich pada Februari 2007.


"Kami juga terpaksa menukar nombor telefon bimbit pada tiap-tiap minggu supaya mana-mana pihak sukar mengesan di mana kami berada.

"Kami sentiasa bimbang menjadi sasaran penculikan," ujarnya.

"Kami sedar bahawa kami tidak boleh menyembunyikan anak-anak kami dan tidak mendedahkan mereka kepada dunia yang sebenar," katanya.

"Kami juga terpaksa diiringi oleh sekumpulan pengawal peribadi yang ramai walaupun mengunjungi panggung wayang atau muzium.

"Bekas suami saya sudah biasa dengan suasana seperti itu tetapi pada setiap tahun ia menjadi sukar bagi saya," ujarnya.

Irina tidak mahu mengulas berhubung teman wanita terbaru Abramovich, Daria Zhukova yang 15 tahun lebih muda daripadanya .

Bagaimanapun, Irina berkata, bahawa bekas suaminya itu menunaikan janjinya bahawa dua anak lelaki dan tiga anak perempuannya akan mendapat segala yang diidamkan mereka.

Menurutnya, dia tidak pernah merasai pengalaman dilindungi oleh pengawal peribadi ketika di zaman kanak-kanak.

Irina berkata, bapanya mati dibunuh ketika dia masih kecil.

"Saya membesar tanpa bapa dan sebab itu penting bagi saya bahawa anak-anak saya akan mendapat apa yang mereka mahukan," katanya.

"Abramovich berjanji bahawa anak-anak kami tidak akan diabaikan dan sehingga kini walaupun kami sudah bercerai, dia tetap menunaikan janjinya," ujarnya.

Pada 15 Oktober 2006, akhbar News of the World melaporkan bahawa Irina mengambil dua peguam penceraian terkenal di Britain selepas Abramovich dilaporkan menjalinkan hubungan dengan Zhukova, berumur 26 tahun.

Zhukova merupakan anak seorang pemimpin Rusia dan dia juga pernah menjalinkan hubungan dengan pemain tenis terkenal, Marat Safin.

Abramovich dan Irina bercerai di Rusia pada Februari 2007 dengan penyelesaian perkahwinan mereka dilaporkan berjumlah AS$300 juta (RM1.08 bilion) tetapi angka sebenar tidak didedahkan.

Setakat ini, Irina tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki selepas bercerai dengan Abramovich.

Terdapat spekulasi bahawa Irina memberi perhatian lebih berat terhadap agama selepas perceraian.

Dia juga dipercayai menghabiskan banyak masa di Britain kerana anak-anaknya belajar di negara tersebut.

Baru-baru ini, Irina menghadiri parti yang dianjurkan oleh saingan Abramovich dalam sukan bola sepak iaitu, Alisher Usmanov di Moscow, Rusia.

Usmanov yang merupakan seorang ahli perniagaan adalah pemegang saham terbesar kelab bola sepak Arsenal dan rakan karib Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.

Isteri, Medvdev turut menghadiri parti itu.

Dalam parti itu, Irina turut duduk di sebelah bekas wanita pertama Rusia, Naina Yeltsin. - Agensi

Awal Musim diganyang,Akhirnya Spurs Harry potter tunjukkan kehebatan

Tottenham leburkan Liverpool 4-2


LONDON: Harry Redknapp sekali lagi melengkapkan sentuhannya bagi membolehkan Tottenham menunjukkan Liverpool jalan keluar pada saingan Piala Liga dengan keputusan 4-2, di White Hart Lane, awal pagi tadi.

Selepas 11 hari menewaskan Liverpool pada saingan Liga Perdana, iaitu kekalahan pertama Liverpool musim ini, anak buah Redknapp sekali lagi mencalarkan imej The Reds.

Hero Redknapp kali ini menerusi dua gol masing-masing oleh Fraizer Campbell dan Roman Pavyluchenko.

Kemenangan itu menyaksikan Redknapp kini sudah mencipta lima kemenangan daripada enam perlawanan kendaliannya.

Apa yang mengejutkan, Tottenham memperoleh tiga gol dalam masa enam minit.

Pemain tengah Russia, Pavlyuchenko memperoleh gol pertama pada minit ke-38 selepas mendapat bola lintang Campbell.

Campbell, yang dipinjamkan oleh Manchester United, menambah derita Liverpool empat minit selepas itu apabila mudah menyepak bola selepas berlaku kekeliruan antara penjaga gol Diego Cavalieri dan Andrea Dossena.

Tottenham terus memburu gol ketiga hampir tamat separuh masa pertama apabila Aaron Lennon menghantar bola ke arah Campbell yang menanduk masuk menewaskan Cavalieri.

Liverpool yang ketinggalan berjaya mendekatkan perbezaan gol menerusi jaringan, Damien Plessis pada minit ke-49, sebelum Pavlyuchenko memperoleh gol keduanya tiga minit selepas itu.

Tandukan Sami Hyypia pada minit ke-63 bagaimanapun sudah terlambat untuk Liverpool kembali bersaing.

Bersinarnyee Permata2 Budak Belasan Tahun GUNNERS

Wenger puji aksi skuad muda



VELA (kiri) mudah melepasi dua kawalan pertahan Wigan dalam aksi Piala Liga di Stadium Emirates, kelmarin. Arsenal menang 3-0.

Sedia serap mereka dalam pasukan senior Arsenal harungi kancah EPL

LONDON: Arsene Wenger mengakui dia tergerak untuk mengadunkan segelintir bakat muda daripada skuad Arsenal di Piala Liga dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menyaksikan mereka bersahaja membenam Wigan 3-0, kelmarin.

Kelab berpusat di utara London itu layak ke suku akhir dengan gaya amat mudah hasil dua gol sumbangan Jay Simpson dan gol ketiga cantik Carlos Vela - dua daripada 10 pemain muda diturunkan Wenger menentang Wigan yang hanya membuat satu pertukaran selepas aksi liga utama menentang Stoke.

Ia adalah persembahan sempurna daripada skuad dibarisi pemain usia muda dan satu-satunya orang yang tidak terkejut ialah Wenger sendiri.


Pengendali Perancis itu mengendalikan pembangunan pasukan ini daripada dekat dan bertegas mereka tidak akan kekok beraksi dalam EPL.

"Memang saya tergerak untuk menurunkan mereka. Tekanannya berbeza dalam EPL tetapi apa yang mereka lakukan bukan kebetulan - ianya kualiti. Ini ujian besar untuk pasukan muda yang dibarisi ramai pemain bawah 18 tahun dan mereka menanganinya dengan baik.

"Ia adalah kombinasi hebat keinginan, tenaga dan kualiti dan kami bersedia sejak minit awal lagi. Kami bersemangat dan ia kemenangan yang menakjubkan.

"Pemain-pemain ini mengejutkan semua orang kerana ia adunan perwatakan, komitmen dan ketenangan. Mereka kekal amat tenang ketika tertekan dan sentiasa mempamer aksi menarik," katanya.

Wenger menyimpan pujian istimewa buat Simpson - "perwatakan dan kekuatan fizikalnya membanggakan" - dan Wilshere, yang menjelmakan aksi kemas daripada bahagian tengah.

Aturan umpanan dan geraknya mengundang bandingan dengan pemain seniornya, Cecs Fabregas, yang tidak menyembunyikan rasa kagum daripada tempat duduk di belakang Wenger.

"Jack pemain berbeza daripada Cesc - lebih suka menggelecek ketika Cesc lebih mengumpan. Tetapi mereka mampu menghasilkan aksi bagus bersama-sama. Mereka punya potensi yang sama.

"Kedua-duanya pemain berwibawa dan tidak takut cabaran. Jack membawa bola ke mana sahaja, ianya semula jadi untuknya. Mereka mampu saling melengkapi satu sama lain,