LONDON - Berkahwin dengan bilionair terkenal seperti pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich mungkin dianggap sebagai mimpi menjadi kenyataan oleh kebanyakan wanita di dunia.
Bagaimanapun, sebuah akhbar semalam mendedahkan bekas isteri Abramovich, Irina menyatakan bahawa perkahwinannya dengan bilionair dari Rusia tersebut umpama satu mimpi ngeri.
Irina berkata, sepanjang 16 tahun, perkahwinannya dengan Abramovich diselubungi dengan ketakutan kerana dia bimbang lima anaknya menjadi sasaran penculik.
"Kehidupan saya dengan Abramovich bukanlah seindah umpama cerita dongeng seperti yang dilaporkan oleh media," kata Irina.
Irina, 41, berkenalan dengan Abramovich yang merupakan antara individu terkaya di dunia ketika dia bekerja sebagai pramugari.
Menurut majalah Forbes, pada 5 Mac 2008, harta Abramovich dianggarkan berjumlah AS$23.5 bilion (RM84.43 bilion) tetapi kini, hartanya menyusut kepada AS$20 bilion (RM71.87 bilion) akibat krisis kewangan global.
Abramovich juga dilaporkan mengalami kerugian sebanyak £12 bilion (RM65.76 bilion) di pasaran saham Rusia selepas Index Micex jatuh mendadak baru-baru ini.
Menurut Irina, keluarganya sering dilindungi oleh sekumpulan pengawal peribadi bagi melindungi mereka daripada penculik.
"Untuk keselamatan saya dan lebih penting lagi anak-anak kami, Abramovich mengupah sekumpulan pengawal peribadi sebuah agensi keselamatan," jelasnya.
|
|
"Kami juga terpaksa menukar nombor telefon bimbit pada tiap-tiap minggu supaya mana-mana pihak sukar mengesan di mana kami berada.
"Kami sentiasa bimbang menjadi sasaran penculikan," ujarnya.
"Kami sedar bahawa kami tidak boleh menyembunyikan anak-anak kami dan tidak mendedahkan mereka kepada dunia yang sebenar," katanya.
"Kami juga terpaksa diiringi oleh sekumpulan pengawal peribadi yang ramai walaupun mengunjungi panggung wayang atau muzium.
"Bekas suami saya sudah biasa dengan suasana seperti itu tetapi pada setiap tahun ia menjadi sukar bagi saya," ujarnya.
Irina tidak mahu mengulas berhubung teman wanita terbaru Abramovich, Daria Zhukova yang 15 tahun lebih muda daripadanya .
Bagaimanapun, Irina berkata, bahawa bekas suaminya itu menunaikan janjinya bahawa dua anak lelaki dan tiga anak perempuannya akan mendapat segala yang diidamkan mereka.
Menurutnya, dia tidak pernah merasai pengalaman dilindungi oleh pengawal peribadi ketika di zaman kanak-kanak.
Irina berkata, bapanya mati dibunuh ketika dia masih kecil.
"Saya membesar tanpa bapa dan sebab itu penting bagi saya bahawa anak-anak saya akan mendapat apa yang mereka mahukan," katanya.
"Abramovich berjanji bahawa anak-anak kami tidak akan diabaikan dan sehingga kini walaupun kami sudah bercerai, dia tetap menunaikan janjinya," ujarnya.
Pada 15 Oktober 2006, akhbar News of the World melaporkan bahawa Irina mengambil dua peguam penceraian terkenal di Britain selepas Abramovich dilaporkan menjalinkan hubungan dengan Zhukova, berumur 26 tahun.
Zhukova merupakan anak seorang pemimpin Rusia dan dia juga pernah menjalinkan hubungan dengan pemain tenis terkenal, Marat Safin.
Abramovich dan Irina bercerai di Rusia pada Februari 2007 dengan penyelesaian perkahwinan mereka dilaporkan berjumlah AS$300 juta (RM1.08 bilion) tetapi angka sebenar tidak didedahkan.
Setakat ini, Irina tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki selepas bercerai dengan Abramovich.
Terdapat spekulasi bahawa Irina memberi perhatian lebih berat terhadap agama selepas perceraian.
Dia juga dipercayai menghabiskan banyak masa di Britain kerana anak-anaknya belajar di negara tersebut.
Baru-baru ini, Irina menghadiri parti yang dianjurkan oleh saingan Abramovich dalam sukan bola sepak iaitu, Alisher Usmanov di Moscow, Rusia.
Usmanov yang merupakan seorang ahli perniagaan adalah pemegang saham terbesar kelab bola sepak Arsenal dan rakan karib Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.
Isteri, Medvdev turut menghadiri parti itu.
Dalam parti itu, Irina turut duduk di sebelah bekas wanita pertama Rusia, Naina Yeltsin. - Agensi
No comments:
Post a Comment