Thursday, December 11, 2008

Torres Pilihan Peminat Malaysia


Peminat bola sepak di negara ini telah memilih penyerang pasukan Liverpool Fernando Torres sebagai pemain pilihan utama mereka, menurut hasil kajian terbaru Barclays Global yang dikeluarkan, semalam.

Kajian tersebut yang melibatkan 32,000 respondan dari 185 negara, menunjukkan Torres, pemain Sepanyol, menerima 44 peratus undian dari peminat Malaysia diikuti penyerang Manchester United Christiano Ronaldo (43 peratus) dan pemain tengah Liverpool Steven Gerrald yang menerima 35 peratus undian.

Pemain lagenda Manchester United (MU) Eric Cantona menerima undian sebanyak 37 peratus sebagai pemain pilihan sepanjang masa, mengatasi penyerang Barcelona Thierry Henry (30 peratus) dan bekas pemain MU David Beckham.

Kajian yang dijalankan oleh Barclays, penaja rasmi Liga Perdana Inggeris, menunjukkan peminat Malaysia telah memilih Sir Alex Ferguson sebagai pengurus pilihan (37 peratus), Stadium Old Trafford sebagai gelanggang pilihan dan pasukan MU sebagai kelab pilihan.

Selain itu, 60 peratus peminat di negara ini juga ingin melihat penyerang Barcelona Lionel Messi (Argentina) beraksi pada EPL.

Kajian itu juga menunjukkan secara purata peminat Malaysia menghabiskan masa lebih lima jam dalam seminggu untuk mengikuti perlawanan EPL dengan 88 peratus menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi televisyen manakala 24 peratus peminat menggunakan internet untuk melihat aksi-aksi utama perlawanan.

Menurut Barclays, bola sepak menjadi 91 peratus topik perbualan di kalangan rakan diikuti tajuk am (40 peratus) dan politik (39 peratus) manakala sukan itu menduduki tangga kedua dalam kehidupan peminat berbanding aktiviti kekeluargaan.

No comments: