Valderrama sukar dicari ganti
|
|
CARLOS VALDERRAMA adalah pemain terhebat pernah dilahirkan oleh Colombia. Dia dikenali seantero dunia.Bukan setakat aksi lincahnya, tetapi dikenali ramai kerana penampilannya.
Dia satu-satunya pemain pada zamannya yang berambut 'afro' perang sehingga menjadi ikutan generasi muda.
Pemain tengah serba boleh ini memang tiada tandingan, baik dari segi kebijaksanaan mengawal bola mahupun daya kreativiti ketika melancarkan gerak untuk mencipta ruang kepada rakannya melakukan jaringan.
Sehingga ke hari ini, Colombia masih sukar untuk mencari penggantinya dan atas sebab itulah dia dilabel sebagai pemain paling hebat pernah dilahirkan oleh negara tersebut.
Valderrama dilahirkan pada 2 September 1961 di Santa Marta, Colombia.
Karier antarabangsanya bersama Colombia bermula pada tahun 1985 hingga 1998 dan telah beraksi dalam 111 perlawanan antarabangsa menjadikannya pemian paling banyak beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.
Rakyat Colombia menganggapnya sebagai pemain yang sukar dicari ganti sehingga ke hari ini. Valderrama atau nama samarannya, El Pibe (The Kid) adalah seorang pemain yang cukup unik.
|
|
Kebijaksanaannya sukar ditandingi dan dia boleh mengubah rentak permainan pasukannya apabila berada dalam tekanan.
Kawalan bolanya kemas, hantarannya tepat, pantas serta mempunyai sepakan yang cukup mengelirukan.
Segala apa yang ada semua dimilikinya, tetapi sayang ketika zaman puncaknya, dia gagal membantu Colombia meraih gelaran Piala Dunia.
Valderrama telah menjadi kapten skuad kebangsaan Colombia dalam tiga Piala Dunia iaitu pada tahun 1990, 1994, dan 1998 sebelum mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa selepas Piala Dunia 1998.
Dia mempunyai 111 cap antarabangsa dan telah menjaringkan 11 gol.
Sehingga ke hari ini, ramai yang masih ingat bagaimana gerakannya ketika membantu Colombia melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 1990 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jerman.
Ia perlawanan penting buat Colombia kerana jika kalah mereka akan tersingkir.
Pada perlawanan itu, lorongan Valderrama telah membuka peluang kepada penyerang mereka, Freddy Rincon untuk menyamakan kedudukan sekali gus melangkah ke pusingan kedua buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.
Mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak tewas kepada Jerman pada kejohanan itu.
|
|
Sepanjang kariernya, dia telah membantu kelab Athletico Junior menjuarai Liga Bola Sepak Colombia pada tahun 1993 dan 1995.
Dia bermula dengan kelab Unión Magdalena dalam Liga Divisyen Satu Colombia pada tahun 1981.
Dia juga pernah menyertai kelab Millonarios dan Deportivo Cali sebelum menyertai Montpellier dalam Liga Divisyen Satu Perancis pada tahun 1988.
Selepas itu dia menyertai Independiente Medellín dan Atlético Junior dari tahun 1993-96 sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat untuk meneruskan kariernya dengan kelab Tampa Bay Mutiny bagi musim 1996-97, 2000-01, Miami Fusion (1998-99), dan Colorado Rapids (2001-02).
Ketika beraksi dalam Major League Amerika itu, Valderrama telah mencatatkan 16 jaringan dan ia dianggap terbaik bagi seorang pemain tengah.
Pada musim 2005, dia dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik MLS Amerika selain menerima pengiktirafan pemain paling unggul pada abad ke-20 oleh legenda bola sepak Brazil, Pele pada tahun 1999.
Selepas 22 tahun mengabdikan diri dalam bola sepak, Valderrama akhirnya membuat keputusan untuk bersara pada bulan Februari 2004 dan persaraannya diraikan dalam satu perlawanan khas di Stadium Metropolitan, Barranquilla yang turut disertai oleh nama-nama hebat di Amerika Selatan seperti Diego Maradona, Enzo Francescoli dan Jose Luis Chilavert.
Selepas persaraannya, dia tetap memilih bola sepak sebagai karier tetapi kembali sebagai penolong pengurus dengan kelab lamanya, Atlético Junior.
Valderrama yang mempunyai tiga orang anak merupakan satu-satunya pemain Colombia yang disenaraikan dalam buku pemain terhebat FIFA pada bulan Mac 2004
No comments:
Post a Comment