Monday, July 28, 2008

SaSaRan KiTa: UsAh jAdi SeKaDar PaK pAcAk...

Fislo Melaporkan..

MALAM ini, skuad bola sepak negara akan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di Stadium Shah Alam. Bagi peminat bola sepak yang selama ini tidak mengenali pemain kebangsaan mahu pun jurulatih negara kerana lebih ghairah memuja bintang EPL, malam ini dapatlah mereka melihat pemain kebangsaan. Namun yang pasti, di mata peminat fanatik EPL itu, pemain negara sekadar watak pak pacak, di kaca mata mereka lebih ghairah tertumpu kepada Frank Lampard, John Terry, Michael Ballack, Michael Essien mahu pun Deco. Itulah hakikat sedih yang harus diakui barisan pimpinan B Sathianathan. Cuma penulis harap, skuad negara tidak akan dibelasah Chelsea yang tampil selepas menewaskan dua kelab profesional China, Guangzhou Pharmaceutical 4-0 dan Chengdu Blades 7-0. Apa yang penting, pemain negara jangan setakat hanya berada di padang untuk sekadar bergambar dengan bintang-bintang dunia itu dan kemudian bertukar-tukar jersi - sebaliknya mengambil peluang untuk menyerlah bakat sebenar mereka. Aksi skuad negara pada Jun 1991 wajar menjadi ikutan apabila tampil melawan sebelum tewas 4-2 kepada barisan kebangsaan England yang dilatih Graham Taylor di Stadium Merdeka. Biarpun ketika itu skuad negara gagal menyaingi kehebatan penyerang Gary Lineker yang menghasilkan keempat-empat gol England, namun dua sentuhan penyudah, Matlan Marjan membuatkan Malaysia menjadi buah mulut peminat. Pada waktu itu juga tiada siapa yang berani meramalkan Malaysia mampu menjaringkan gol apa lagi gawang England yang dikawal Chris Wood nampak kebal selepas tiga aksi perlawanan awal di Oceania. England menang ke atas Australia 1-0 dan turut menewaskan New Zealand 1-0 dan 2-0. Malah, Matlan menjadi satu-satunya pemain yang berjaya membolosi gawang England dalam kunjungan mereka ke Asia-Oceania ketika itu. Peluang menonjolkan bakat di pentas utama tidak selalu hadir. Sebab itu, penulis berharap pemain negara mengambil peluang pada kesempatan malam ini walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan. Ia juga sama dengan atlit negara yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik yang bermula minggu depan. Tidak harus timbul Sukan Olimpik menjadi pentas menimba pengalaman kerana peluang untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu tidak hadir selalu. Mungkin ada atlit negara yang sudah bernasib baik untuk beraksi bukan sekali tapi mungkin dua atau tiga kali, tapi jika peluang itu tidak diambil untuk setidak-tidaknya melakukan catatan peribadi terbaik, ia pasti satu kerugian besar. Alasan usia masih muda dan punya peluang pada lain kali tidak harus menjadi ikutan. Apa lagi tidak siapa yang tahu apa yang boleh berlaku empat tahun selepas itu. Jadi, lebih baik untuk atlit negara mengambil peluang yang ada melakukan yang terbaik seperti tiada lagi esok untuk mereka apabila berada di Beijing nanti, bukannya sekadar menjadi pelancong. Renungkanlah.

No comments: