Zafuan kahwin Rita: Jurulatih, rakan sokong
|
|
Rata-rata mereka tidak menyedari pemain berusia 21 tahun itu menjalin hubungan cinta dengan pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar yang 11 tahun lebih tua daripadanya apatah lagi sudah berkahwin sejak Februari lalu.
Mereka bagaimanapun yakin perkahwinan Aidil Zafuan dengan Rita, 32, tidak akan menjejaskan prestasinya dalam pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan.
Jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Aminuddin Hussein yang bertanggungjawab mencungkil bakat Aidil Zafuan percaya perkahwinan itu akan menjadikannya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam kehidupan atau sukan.
“Nampaknya dia mengikut nasihat saya supaya berkahwin awal tetapi saya harap tumpuannya sebagai seorang pemain profesional yang berbakat tidak terpesong dengan masalah di luar gelanggang apatah lagi apabila berkahwin dengan seorang artis popular,” katanya.
Penolong jurulatih negara pada Piala Suzuki AFF lalu, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad pula menyifatkan tindakan anak buahnya berkahwin itu lebih baik daripada terjebak dengan gejala maksiat.
“Saya pernah menasihatkan Aidil Zafuan ketika di Phuket supaya meluahkan apa sahaja masalah yang terpendam di hati kerana sekurang-kurangnya ia akan melegakan kita walaupun belum dapat menyelesaikan masalah sepenuhnya,’’ katanya.
Dalam pada itu, kembar Aidil Zafuan, Zaquan Adha (gambar), yang merupakan penyerang negara akur dengan perkahwinan abangnya walaupun agak terkilan dengan tindakan membelakangkan keluarga.
“Saya pun terkejut tetapi saya hendak buat macam mana, walaupun susah saya hendak menyokongnya.
“Ketika berhubung dengan telefon, dia cuma katakan kepada saya, dia tahu dia bersalah kepada mak dan abah tetapi tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya pun tidak mahu membebankan atau mengganggu sangat kerana saya tahu dia mampu menangani keadaan itu,” katanya.
Dia bagaimanapun tetap mendoakan semoga kembarnya itu bahagia melayari bahtera perkahwinan.
Bagi rakan sepasukan, Nizaruddin Yusof, berpendapat kahwin muda dapat membantu meningkatkan prestasi atlet seperti yang berlaku padanya yang mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu.
“Pemain yang sudah berkahwin ini akan lebih banyak meluangkan masa di rumah dan isteri, tidak akan membuang masa tidak tentu fasal di luar dan lebih bertanggungjawab,” katanya.
Bunyamin Umar, pemain UPB-MyTeam dan seangkatan pasangan kembar Abd. Radzak itu sejak menuntut di SSBJ turut mendoakan kebahagiaan Aidil Zafuan walaupun tidak menyangka rakan baiknya yang pendiam itu mendapat jodoh awal.
No comments:
Post a Comment