Persiapan rapi hebatkan persaingan
Saingan Piala Malaysia yang bermula malam ini bakal menjadi tugas perit buat pasukan pilihan apabila terpaksa memulakan cabaran dengan aksi di tempat lawan.
Selangor, Kelantan, Perlis, Negeri Sembilan juga Johor FC dijangka terpaksa bergelut untuk mencari rentak apabila beraksi di tempat lawan ketika tahap kecergasan pemain belum benar-benar teruji setelah berehat lebih sebulan sempena bulan puasa.
Status pasukan pilihan juga bukan jaminan mereka bakal mendapat laluan mudah walaupun menentang pasukan yang dianggap 'kerdil'.
Jika tersilap langkah, tidak mustahil pasukan yang menjadi belasahan dalam saingan liga mampu mengejutkan pasukan pilihan.
Memetik kata jurulatih Selangor K. Devan, bahawa saingan Piala Malaysia tidak sama seperti saingan liga, ancaman pasukan yang dianggap kerdil tidak boleh dipandang ringan.
"Pasukan yang kurang menyerlah dalam saingan liga pastinya mahu memperbaiki pencapaian mereka dengan memberikan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia.
"Secara tradisinya saingan Piala Malaysia memang berlainan, ia saingan di penghujung musim di mana semua pasukan melakukan persediaan terbaik,'' katanya.
Menyedari perkara itu, Devan yang mengintai piala keempat bersama Selangor selepas Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super tetap berhati-hati apabila menentang Sabah di Stadium Tawau.
"Kita tidak memandang rendah saingan dari mana-mana pasukan dalam kempen Piala Malaysia,'' katanya.
Selangor dijanjikan tentangan sengit oleh skuad bimbingan Mohd. Asyaraaf Fong yang optimis.
Nada yang sama dilaungkan oleh Kelantan yang beraksi di Stadium Bandaraya menentang Pulau Pinang.
Jurulatih baru skuad Wira Merah, B. Sathianathan yang menggantikan Peter Butler yang meletak jawatan berkata, berdepan pasukan Pulau Pinang bukan mudah.
Jelasnya, rekod pasukan lawan yang cemerlang ketika perlawanan persahabatan menentang Selangor, Kedah dan KM Naza menyebabkan Kelantan harus berhati-hati.
"Berdasarkan rekod mereka yang tidak pernah kalah dalam perlawanan persahabatan, saya sifatkan Pulau Pinang mencatat peningkatan.
"Inilah yang menjadi ancaman kepada Kelantan. Saya baru sahaja tiga hari bersama skuad Kelantan, jadi tidak banyak yang dapat saya lakukan dalam tempoh sesingkat itu.
"Cuma saya harap menerusi para pengalaman para pemain, mereka dapat memberikan persembahan seratus peratus sambil tidak sesekali memandang rendah keupayaan pasukan lawan,'' katanya.
"Naib juara Liga Super, Perlis yang beraksi di Stadium Hang Tuah menentang Melaka tidak mahu leka walaupun hanya berdepan pasukan bertaraf Liga Perdana.
Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim tidak memandang ringan ancaman Melaka yang mencatat kemenangan di sepanjang perlawanan liga.
"Kami tidak memandang rendah prestasi Melaka, dalam masa yang sama kami tidak mahu memikirkan strategi mereka sebaliknya akan beraksi mengikut cara kami,'' katanya.
No comments:
Post a Comment