Thursday, December 25, 2008

Pembunuh Bola Sepak Negara



RAJA AHMAD ZAINUDDIN meraikan kejayaan Perak muncul juara Piala Malaysia edisi 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


GEJALA rasuah kembali menular dalam sukan bola sepak negara?

Itu persoalan utama yang kembali diperdebatkan di kalangan pemerhati serta peminat sukan No. 1 negara itu.

Andai benar seperti apa yang didedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini bahawa gejala rasuah kembali 'menghiasi' bola sepak tanah air, satu tindakan pro-aktif harus dilaksanakan bagi mengelakkan ia menjadi 'barah' sehingga melumpuhkan perkembangan sukan No. 1 negara itu.

Jika diimbas kembali, negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah pada tahun 1994 dan 1995. Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad terhadap 26 pemain yang menyaksikan mereka dibuang daerah manakala Lembaga Disiplin FAM pula menggantung penyertaan antara satu hingga lima tahun terhadap 57 pemain serta seorang penolong jurulatih.

Namun, timbul tanda tanya siapa dan bagaimana skandal ini boleh didedahkan?

Harus diakui bahawa rasuah sememangnya jenayah paling sukar dibanteras kerana pelakunya susah untuk dibuktikan berbanding kegiatan mencuri, merompak, merogol mahupun membunuh.

"Saya orang pertama yang membuat laporan polis berhubung gejala rasuah dalam bola sepak yang berlaku sekitar tahun 1994 dan 1995 di negara ini."

Demikian pengakuan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).


AINI (kanan) serta bekas jurulatih, Ken Worden dianggap arkitek kejayaan Selangor sekitar tahun 1990-an.


Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, gejala rasuah ini mula didedahkan apabila beliau hadir menyaksikan perlawanan yang membabitkan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

"Apabila saya masuk ke stadium, ada beberapa penonton yang sudah beritahu saya keputusan sebelum perlawanan berlangsung. Kebiasaannya mereka ini (penonton) hanya menunjukkan dengan jari keputusan perlawanan pada hari berkenaan, tidak kira pasukan mana yang menang, Pulau Pinang mahupun pihak lawan.

"Pada mulanya, saya tidak begitu ambil peduli kerana menganggap ini semua asam garam bola sepak kerana kerenah penonton macam-macam boleh dilihat.

"Bagaimanapun, saya mula mempercayai mereka kerana apa yang dikatakan mereka memang benar-benar berlaku. Paling mengejutkan saya apabila mereka sudah tahu lebih awal mana-mana pemain yang dikenakan kad merah atau kad kuning," jelas Ibrahim kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ibrahim menambah, ekoran situasi tersebut, dia melakukan siasatan sendiri kerana mengesyaki terdapat beberapa pemain skuad Harimau Kumbang itu terlibat dengan gejala rasuah.

"Saya sudah tidak tahan melihatkan masalah ini dan ketika itu, saya benar-benar kecewa dan marah selepas mendapati ada pemain yang terlibat dengan gejala rasuah. Selepas bertungkus-lumus mencari wang untuk membayar gaji pemain, tetapi inilah yang terjadi.

"Akhirnya, kami (FAP) membuat keputusan untuk melaporkan masalah ini kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan siasatan lanjut.

"Bermula dari saat itu, pemain yang disyaki terlibat dengan rasuah telah disoal siasat oleh BPR sehingga mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman.

"Saya boleh katakan hampir seluruh skuad Pulau Pinang terlibat dengan gejala tidak bermoral itu," kata Ibrahim yang pernah menyandang jawatan selaku Naib Presiden FAM sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM.

Jelas Ibrahim, disebabkan pendedahannya itu, satu demi satu pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana turut menerima tempiasnya.

"Mungkin ketika itu kali pertama gejala rasuah didedahkan, sebab itu 'pecah' satu Malaysia. Dari situ, terbongkar semua rahsia, hampir seluruh pasukan di Malaysia didakwa terlibat dengan rasuah.

"Selepas kes di Pulau Pinang, apa yang saya ketahui, BPR serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan siasatan secara besar-besaran sehingga tertangkapnya lebih 100 pemain serta jurulatih yang didakwa mengatur perlawanan," ujar Ibrahim.


AHMAD SHAHRUL AZHAR menerima Piala Malaysia daripada bekas Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah selepas Perak ditabalkan juara Piala Malaysia musim 2000.


Sementara itu, antara individu yang pernah 'menderita' akibat gejala tidak bermoral ini ialah bekas pengurus pasukan Perak, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ketika isu rasuah ini timbul pada pertengahan tahun 1990-an, beliau baru sahaja kembali mengurus skuad Seladang selepas tamat tempoh penggantungannya ekoran salah laku disiplin.

"Tugas saya ketika itu amat berat. Bagaimanapun, saya tidak mudah menyerah kalah. Boleh dikatakan saya hilang hampir seluruh pemain utama akibat rasuah.

"Disebabkan itu, saya terpaksa mencari pemain baru serta muda untuk diketengahkan. Dari situlah lahir nama-nama seperti Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Shamsul Akmar Japeri dan beberapa pemain muda berbakat," jelas Raja Ahmad.

Mengulas mengenai gejala rasuah yang berlaku ketika itu, Raja Ahmad berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan laporan yang mengatakan beberapa tonggak utama Perak terlibat.

"Sudah pasti kita tidak sangka akan berlaku hal ini. Setahu saya, masalah gaji ketika itu tidak pernah timbul dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sentiasa melunaskan janji-janji mereka kepada pemain..

"Mungkin keadaan sekeliling yang menyebabkan pemain ini terlibat dengan rasuah. Mungkin juga ada pemain yang terlalu mengejar kemewahan sehingga mereka lupa tanggungjawab sebagai seorang pemain.

"Sekali imbas, bukan sebab masalah taraf hidup (pemain terlibat dengan rasuah), tetapi mereka ini tamak. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, siapa yang mahu menolak jika imbuhan itu besar. Tambahan pula pemain berkenaan benar-benar memerlukan duit," kata Raja Ahmad Zainuddin.


PENYOKONG bola sepak tempatan sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kesayangan mereka.


Bekas Naib Presiden FAM itu menambah, skuad Perak memerlukan tempoh tiga tahun untuk kembali bangkit menjadi antara pasukan paling disegani selepas ditimpa 'malapetaka' tersebut.

"Selepas tiga tahun, Perak kembali muncul antara kuasa bola sepak tempatan. Buktinya, Perak berjaya muncul juara Piala Malaysia pada tahun 1998 hasil bimbingan jurulatih Karl-Heinz Weigang," jelas Raja Ahmad Zainuddin.

Bagi menangani gejala rasuah daripada terus berleluasa, Raja Ahmad Zainuddin berkata, pihak pengurusan setiap pasukan harus mengambil inisiatif tersendiri dalam memberi tunjuk ajar serta motivasi kepada pemain serta pegawainya.

"Bola sepak adalah sukan No. 1 di negara ini dan mempunyai ramai pengikut, tetapi sukan ini dan karier pemain boleh hancur andainya mereka gagal mendisiplinkan diri.

"Bekerjasama dengan pihak berkuasa adalah langkah terbaik bagi membanteras gejala rasuah dan jangan memberi sebarang alasan jika ada yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu kerana rasuah tidak menjamin seseorang itu menjadi kaya melainkan usaha gigih sendiri," kata beliau.

Turut menceritakan pengalaman dahsyat yang pernah dialami ekoran skandal rasuah ini ialah bekas pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd. Aini Taib.

Aini berkata, skuad Gergasi Merah lumpuh seketika selepas enam pemainnya didapati bersalah terlibat dengan gejala tidak bermaruah itu.

"Apa yang kita hendak buat lagi apabila pemain yang diberi kepercayaan sanggup melakukan kesalahan sedemikian rupa. Ia satu berita yang menyedihkan kerana Selangor yang cukup gah di persada bola sepak tempatan turut dibelenggu dengan gejala rasuah.

"Pada mulanya, saya agak sangsi dengan laporan yang mengatakan pemain Selangor terlibat dengan rasuah. Namun saya mula dapati ada sesuatu yang tidak betul berlaku melihatkan beberapa keputusan perlawanan.

"Sebagai contoh, pada perlawanan separuh akhir Piala FA ketika Selangor menentang Kuala Lumpur, sekalipun selesa mendahului 2-0 pada babak pertama, kami terpaksa pulang dengan kosong apabila tewas 2-4.

"Trend itu saya lihat berlaku pada perlawanan-perlawanan tertentu. Apabila trend itu sudah ada dan saya mula syak ada sesuatu yang tidak kena, saya mula buat siasatan sendiri.

"Saya lantik dua pegawai penyiasat yang juga bekas anggota polis untuk memantau setiap gerak-geri pemain yang disyaki. Akhirnya memang benar pemain yang disyaki ini terlibat dengan rasuah," jelas Aini yang pernah memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).


SELANGOR merupakan pasukan yang cukup disegani dalam kancah bola sepak tempatan.


Pastinya, pendedahan yang dibuat oleh tiga individu ini (Ibrahim, Raja Ahmad Zainuddin dan Aini) yang pernah terlibat secara langsung dalam menangani gejala rasuah perlu diambil perhatian serta pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak berwajib.

Sesungguhnya gejala rasuah yang dikatakan kembali menular dalam kancah bola sepak tempatan, tidak boleh dipandang ringan serta perlu dibanteras segera dengan kerjasama semua pihak.

Sebagaimana yang telah dititahkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah: "Saya tidak mahu gejala rasuah ini menjadi barah dalam industri bola sepak kita."

Justeru, satu metodologi terbaik harus diusahakan segera oleh tiga pihak berkenaan (FAM, BPR serta PDRM) bagi menangani skandal rasuah ini yang jika tidak dibendung dengan serius, dibimbangi mampu meruntuhkan institusi bola sepak tanah air.



Tuesday, December 23, 2008

Player Kebangsaan Ade Aje KeHaiinye..

Rita sah hamil dua bulan



Pelakon Rita Rudaini, 32, yang berkahwin secara rahsia dengan teman lelakinya, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 21, disahkan telah hamil.

Usia kandungan Rita kini sudah mencecah dua bulan setengah.

"Rita memang tertekan dengan keadaan yang berlaku sekarang tetapi sangat gembira kerana sudah disahkan mengandung dan dia juga masih mampu menjalani penggambaran sebuah drama bersiri dengan Suhan Movies pada ketika ini," kata sumber yang merupakan teman rapat pelakon jelita itu.

Bagaimanapun,suami Aidil yang ditemui semalam enggan mengulas mengenai kehamilan isterinya. Dia berjanji akan menjelaskan segalanya dalam satu sidang akhbar beberapa hari lagi.

"Maaf, saya enggan komen. Satu sidang akhbar akan dibuat (tidak lama lagi). Ketika itu, abang (wartawan) boleh tanya macam-macam,'' ujarnya.

Demikian komen ringkas Aidil ketika ditanya mengenai status Rita yang dikatakan sedang mengandung dua bulan setengah selepas perkahwinan rahsia mereka berdua di Songkhla, Thailand Februari lalu terbongkar baru-baru ini.

Enggan bercakap banyak, Aidil bagaimanapun mengakui telah berjumpa keluarganya bagi menjernihkan keadaan dua hari selepas keluarganya membuat sidang akhbar di Seremban baru-baru ini. Rita bagaimanapun tidak ikut sekali dalam pertemuan itu.

Friday, December 19, 2008

Nakalnyaa Player Nie..!!

Zafuan kahwin Rita: Jurulatih, rakan sokong



Jurulatih dan rakan sepasukan termasuk adik kembar Aidil Zafuan Abd. Radzak menyokong tindakan bek tengah skuad bola sepak negara itu berkahwin pada usia muda walaupun terkejut dengan pilihannya.

Rata-rata mereka tidak menyedari pemain berusia 21 tahun itu menjalin hubungan cinta dengan pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar yang 11 tahun lebih tua daripadanya apatah lagi sudah berkahwin sejak Februari lalu.

Mereka bagaimanapun yakin perkahwinan Aidil Zafuan dengan Rita, 32, tidak akan menjejaskan prestasinya dalam pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan.

Jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Aminuddin Hussein yang bertanggungjawab mencungkil bakat Aidil Zafuan percaya perkahwinan itu akan menjadikannya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam kehidupan atau sukan.

“Nampaknya dia mengikut nasihat saya supaya berkahwin awal tetapi saya harap tumpuannya sebagai seorang pemain profesional yang berbakat tidak terpesong dengan masalah di luar gelanggang apatah lagi apabila berkahwin dengan seorang artis popular,” katanya.

Penolong jurulatih negara pada Piala Suzuki AFF lalu, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad pula menyifatkan tindakan anak buahnya berkahwin itu lebih baik daripada terjebak dengan gejala maksiat.

“Saya pernah menasihatkan Aidil Zafuan ketika di Phuket supaya meluahkan apa sahaja masalah yang terpendam di hati kerana sekurang-kurangnya ia akan melegakan kita walaupun belum dapat menyelesaikan masalah sepenuhnya,’’ katanya.

Dalam pada itu, kembar Aidil Zafuan, Zaquan Adha (gambar), yang merupakan penyerang negara akur dengan perkahwinan abangnya walaupun agak terkilan dengan tindakan membelakangkan keluarga.

“Saya pun terkejut tetapi saya hendak buat macam mana, walaupun susah saya hendak menyokongnya.

“Ketika berhubung dengan telefon, dia cuma katakan kepada saya, dia tahu dia bersalah kepada mak dan abah tetapi tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya pun tidak mahu membebankan atau mengganggu sangat kerana saya tahu dia mampu menangani keadaan itu,” katanya.

Dia bagaimanapun tetap mendoakan semoga kembarnya itu bahagia melayari bahtera perkahwinan.

Bagi rakan sepasukan, Nizaruddin Yusof, berpendapat kahwin muda dapat membantu meningkatkan prestasi atlet seperti yang berlaku padanya yang mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu.

“Pemain yang sudah berkahwin ini akan lebih banyak meluangkan masa di rumah dan isteri, tidak akan membuang masa tidak tentu fasal di luar dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Bunyamin Umar, pemain UPB-MyTeam dan seangkatan pasangan kembar Abd. Radzak itu sejak menuntut di SSBJ turut mendoakan kebahagiaan Aidil Zafuan walaupun tidak menyangka rakan baiknya yang pendiam itu mendapat jodoh awal.

Jadual Kalah Mati Perlawanan Liga Juara2 Eropah 2008/09

Juara jumpa juara..

Switzerland - Juara Eropah sembilan kali, Real Madrid bakal menjadi halangan kepada juara lima kali, Liverpool dalam undian sengit peringkat kalah mati yang melibatkan bekas-bekas juara pada saingan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Malah, penyandang juara, Manchester United juga tidak lepas daripada menerima laluan getir apabila diundi menentang juara Serie A, Inter Milan.

Arsenal dilihat sebagai pilihan untuk melangkah lebih jauh selepas menerima undian lebih mudah dengan menentang wakil Itali, AS Roma.

Juara Perancis tujuh kali, Lyon pula bakal berdepan juara Eropah 2006 dan pendahulu bola sepak Liga Sepanyol, Barcelona dalam pertarungan dua peringkat itu.

Satu lagi pasukan Sepanyol, Villarreal diundi menentang kelab Greece, Panathinaikos, sementara bekas juara, Bayern Munich tidak mengharapkan undian lebih baik selepas bertemu Sporting Lisbon dari Portugal.

Sementara Atletico Madrid, yang mempamer prestasi tidak menentu ketika ini diundi bertemu juara 2004, FC Porto.

Naib juara tahun lalu, Chelsea tidak terlepas daripada menerima lalu sukar dengan kelab besar Itali, Juventus menjadi lawan di peringkat kalah mati.

Sunday, December 14, 2008

Beckham ibu bapa contoh - Seal



SEAL dan anak-anaknya. Dalam bulatan, David bersama tiga anak lelakinya.


TERKENAL dengan imej bapa dan suami yang baik, penyanyi Seal memuji pasangan David dan Victoria Beckham sebagai pasangan yang baik dan bijak dalam mendidik anak-anak.

Suami kepada supermodel Heidi Klum ini melahirkan perasaannya terujanya melihat pasangan Beckham yang berjaya menjadi ibu bapa yang baik kepada tiga anak lelaki mereka, di sebalik menjadi selebriti glamor dan terkenal.

Seal yang memiliki tiga anak, dua hasil perkahwinannya dengan Heidi iaitu Henry, 3 tahun, dan Johan, 2, serta Leni, 4, daripada perkahwinan terdahulunya berkata: "Kita boleh melihat diri seseorang menerusi cara bagaimana mereka mendidik anak mereka. Tiga anak lelaki David dan Victoria merupakan hasil didikan yang baik.

"Kelakuan anak-anak yang baik bukan datang asuhan pengasuh tetapi daripada didikan ibu bapa. Victoria dan David adalah contoh ibu bapa yang baik dan bijak dalam mendidik anak-anak

Pertembungan Klasik 2 Gergasi Kelab Sepanyol

Barca buat Real merana


pemain-pemain Barcelona meraikan kejayaan menewaskan Real Madrid dalam saingan bala sepak Liga Sepanyol di Camp Nou, kelmarin.


MADRID, Sepanyol - Samuel Eto'o dan Lionel Messi masing-masing menjaringkan gol untuk membenam Real Madrid 2-0, kelmarin sekali gus mencalar harapan jurulatih, Juande Ramos.

Eto'o yang gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum itu, bangkit dengan gol pertama pada minit ke-83 sebelum Messi menyungkit bola memperdayakan penjaga gol lawan, Ikes Casillas.

Perlawanan 'el clasico' itu kelmarin menarik minat 96,000 penonton yang memenuhi Camp Nou.

Kemenangan Barcelona itu juga mengukuhkan kedudukannya di puncak liga dengan 12 mata meninggalkan Real Madrid yang tewas empat daripada lima perlawanan setakat ini.

''Saya berpuas hati dengan persembahan Real. Barcelona menguasai permainan tetapi kami lebih banyak menghasilkan peluang,'' kata Ramos.

Perlawana kelmarin turut menyaksikan Ramos menurunkan skuad tanpa Ruud van Nistelrooy, Pepe dan Gabriel Heinze manakala penyerang, Arjen Robben dan Marcelo masih digantung. Bagaimanapun, Ramos berjaya menyekatkan banyak peluang Barcelona pada babak pertama.

Friday, December 12, 2008

First look and impressions

Topic: Comentar Y4E Comentar Y4EBlUeKaNgBaKaU

Tak hujan pun tadi… lagu hujan pulak keluor… ahhhh.. layan je la Ribaibaru Mayumi Itsuwa ni..

“Furishikiru ame no naka o..
Ashi baya ni to o ri sugita…
Natsu no hino
Ina zouma ni yo u ni
Hakanaku kieta
Futari no koi…”

“….recalculating ..”..adusss… silap masuk simpang la… minah garmin dah marah tu..


Selama ini memerhati dari jauh aje perkembangan pasukan perak 2009, akhirnya Rabu lepas awok berpeluang menghadirkan diri ke stadium Perak masa perlawanan persahabatan Perak vs PKNS.

“Ahh..are ho do hageshiku moeta
Kokoro nga
Ima wa hai iro no ribaibaru….”


… sedap betul lagu ni…. ni yang membuat awok tambah syahdu ni.. terkeluor abis nilai nilai jiwang dalam diri ni …

Ya….. Pandangan pertama selalunya mempengaruhi persepsi seseorang . Ianya penting mcm orang bercinta jugak. Tiba di Stadium ketika perlawanan baru bermula. 2/3 grandstand penuh. Ternampak muka2 wajib tayang di stadium. Awok terus ke sana dan lepak kat tangga. Apalah sangat pengorbanan mcm ini untuk yang tersayang… aah .. are ho do hageshiku moeta….

“ drive for 2km and then turn left..keep right”……ye la.. ye la….


Alhamdulillah, kita menang 3-0 . Semua gol dari set piece yang dimulakan dengan kaki kiri Benedict Martin yang cukup cukup sweet. Dia dianugerahkan dengan bakat kaki kiri yang cukup2 berharga. Anak muda dari Sarawak ini merupakan antara spesis yang semakin pupus dan terancam di bumi Malaysia. Umpama burung kenyalang jugak. Harap bakat dia dapat dipupuk dengan betul dan dijaga. Dia mampu pergi jauh. Dia akan menyarung jersi kebangsaan tidak lama lagi. Mark my words!

“ in 400m, turn left and turn right... keep right…. drive for 18km”…. ahhh …minah garmin ni lagi… terputus lagi lamunan….


Tiga gol Perak dijaringkan oleh Sharizal Saad (tandukan), Razali ( tandukan) dan satu pergelutan depan pintu gol oleh Chun. Ya..Chun merupakan seorang lagi pemain yg berbakat besar. Anak kelahiran Penang ini kental bertahan. Corak permainan dia keras, menutup setiap ruang ruang kosong yang terbiar utk penyerang2 lawan memanipulasi. Pertahanan Perak amat menyakinkan. Untuk game ini awok beri lima bintang!

“In 400m turn left..”


“Apa la orang Kati ni.. selang 100 meter je dah kampong lain.. gamaknyer banyak benor kampong kat sini… gile kuasa betol le..semua nak jawatan tok sidang le tu…”… wakakkakakak…

“ Pertahanan kita ada Megat.. dia senior yang selalu bagi arahan kat pertahanan kita “… kata seorang pemain yang awok sembang kat kedai mamak selesai game. Sambil menghirup kopi o panas awok pun tanya kat dia “ Having saying that…. you rasa perlu tak seorang senior mcm itu kat midfield…?.. I tengok midfield kita ada kelemahan …”
“……. bla bla bla….. Hardi jakfar…bla ..bla…” jawapan penuh dia kome tgk jer la kat video pakcu…

“In 2.5km turn left…then right”……oppsss…kena set hala ke Gerik la pulak….
“ recalculating…..”


Terharu dan bangga tengok semangat pemain pemain muda dan baru kita ni..malahan yg bukan kelahiran Perak sendiripun amat berbangga dapat menyarung jersi Perak. Pemain2 ni baru nak merangkak naik menjadi pemain professional. Masih baru sangat lagi.

Kat luar stadium pun jelas nampak pemain2 muda kita ni naik motor je.. tak de kereta beso beso.. kalau ada yang berkereta pun kereta biasa aje.. ye la kereta bukan lagi lambang kemantapan ekonomi.. kereta tu satu keperluan..teringat masa era Kedah –KL dulu… pemain2 Kedah naik motor je ke stadium.. pemain2 KL naik kereta hebat hebat masa tu… tersiar dalam akhbar masa tu.. Radhi Mad Din tentu ada simpan paper kating ni kot… tak pun Ahmad Sobri… kekkeke

Anak2 muda ini perlu diberi perhatian bimbingan dan panduan bukan setakat permainan sahaja malah merangkumi kehidupan dan masa depan… kareer demer panjang lagi…

“ Keep driving for 56km…”

Pengambilan pemain dari luar nampak berkesan. Tak dapat awok nak bayangkan kalau tanpa mereka. Bekas pemain2 Presiden perlu bekerja lebih kuat lagi, tenang dan lebih compose. Tanpa ketenangan dan composure susah nak bermain sebagai satu pasukan. Passing masih lagi sederhana, kawalan bola yang asas pun belum dapat dikuasai dengan baik. Mungkin kerana pemain2 cepat gabra. Disini pengalaman penting. Ketenangan datang dari pengalaman. Jurulatih hanya berada di tepi padang bagi arahan, didalam padang pemain2 la yang kena merealisasikannya. Komer nak dengo ke idak masa tu terpulangla...

Keseluruhan permainan boleh dibanggakan. Pertahanan baik. Goalie Megat pun amat menyakinkan. Midfield banyak yang perlu di buat….serangan awok puas hati…penyerang banyak bergantung pada midfield ..jadi susah nak menilai keberkesanan penyerang tanpa kita selesaikan masalah midfield dulu….Dari markah penuh 5 Bintang awok bagi….

“ Mee Udang Galah”……oppppsss….terlajak pulak….menarik gak ni… rare ni..susah nak jumpa….
“recalculating”…..udah la…aku diamkan ko dulu la…..aku nak mencekik ni dulu…tak tahan dah nak tunggu sampai ke Pengkalan Hulu baru nak mencekik..


Perghh…RM8 spesyial…ada 5 ekor udang galah sepinggan dgn saiz sederhana. Murah la tu..
Resoran ini terletak di sebelah kanan jalan sebelum sampai Bandar Gerik. Mmmm..not bad..kuah mee ada rasa mcm mee bandung. Terasa manis udangnya. Rasanya dia letakkan stok udang yang direbus dulu dan diambik ayornya.

5 bintang awok bagi…chop chop…tunggu dulu...ni utk mee udang galah ni…bukan persembahan pasukan perak lagi...untuk nilai wang anda ( value for money)….

Untuk pasukan Perak pulak awok nilaikan mcm dibawah ni:

Penjaga Gol : 4 Bintang
Pertahanan : 4 setengah bintang
Midfield : 2 setengah bintang
Penyerang: 3 setengah bintang
Semangat / Teamwork : 4 setengah bintang
Nilai hiburan : 3 bintang
Nilai wang anda : 4 bintang

Kalau ditanya pada awok mengenai “first look and impressions” pada team ini, awok hanya mampu katakan yang awok suka dengan team ini - ianya ada asas yang baik dan yang mana boleh di pertingkatkan lagi agar mampu pergi lebih jauh.

Umpama kain putih, corakkan aje la dengan adunan warna dan paten yang betul dan menarik.

Thursday, December 11, 2008

Ronaldo terima padah



CRISTIANO RONALDO menandatangani autograf sebaik tiba di Paris Ahad lalu.

LONDON - Suami kepada kekasih baru bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo memberi amaran kepada pemain bola sepak berkenaan supaya berhati-hati dengan wanita tersebut, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki tersebut, John Haynes menasihati Ronaldo supaya menjauhi isterinya, Alyona kerana wanita itu seorang pembohong dan pandai berlakon.

"Alyona membohongi saya dan juga Ronaldo. Dia sepatutnya didatangkan dengan amaran kesihatan seperti yang anda jumpa pada kotak rokok," katanya.

Haynes, 50, berkata, isterinya pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ronaldo ketika mereka sedang berasmara.

Jutawan tersebut percaya Alyona, 25, menipu Ronaldo dengan mendakwa dia masih bujang semata-mata untuk menghampiri pemain itu.

"Saya sukar mempercayainya, bahawa Alyona memberitahu Ronaldo dan seluruh dunia bahawa kami sudah lama berpisah," ujarnya.

Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu selepas berjumpa melalui sebuah laman web pencari jodoh tetapi hubungan mereka mula renggang selepas Alyona bertemu Ronaldo di sebuah restoran pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, Haynes tidak menyalahkan Ronaldo berhubung perkara itu dan percaya pemain tersebut tidak mengetahui bahawa Alyona sudah berkahwin.

"Saya yakin Alyona sengaja menggoda Ronaldo kerana dia kenal siapa pemain itu. Isteri saya seorang yang licik saya tidak mengetahui apa rancangannya selepas ini," katanya.

Torres Pilihan Peminat Malaysia


Peminat bola sepak di negara ini telah memilih penyerang pasukan Liverpool Fernando Torres sebagai pemain pilihan utama mereka, menurut hasil kajian terbaru Barclays Global yang dikeluarkan, semalam.

Kajian tersebut yang melibatkan 32,000 respondan dari 185 negara, menunjukkan Torres, pemain Sepanyol, menerima 44 peratus undian dari peminat Malaysia diikuti penyerang Manchester United Christiano Ronaldo (43 peratus) dan pemain tengah Liverpool Steven Gerrald yang menerima 35 peratus undian.

Pemain lagenda Manchester United (MU) Eric Cantona menerima undian sebanyak 37 peratus sebagai pemain pilihan sepanjang masa, mengatasi penyerang Barcelona Thierry Henry (30 peratus) dan bekas pemain MU David Beckham.

Kajian yang dijalankan oleh Barclays, penaja rasmi Liga Perdana Inggeris, menunjukkan peminat Malaysia telah memilih Sir Alex Ferguson sebagai pengurus pilihan (37 peratus), Stadium Old Trafford sebagai gelanggang pilihan dan pasukan MU sebagai kelab pilihan.

Selain itu, 60 peratus peminat di negara ini juga ingin melihat penyerang Barcelona Lionel Messi (Argentina) beraksi pada EPL.

Kajian itu juga menunjukkan secara purata peminat Malaysia menghabiskan masa lebih lima jam dalam seminggu untuk mengikuti perlawanan EPL dengan 88 peratus menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi televisyen manakala 24 peratus peminat menggunakan internet untuk melihat aksi-aksi utama perlawanan.

Menurut Barclays, bola sepak menjadi 91 peratus topik perbualan di kalangan rakan diikuti tajuk am (40 peratus) dan politik (39 peratus) manakala sukan itu menduduki tangga kedua dalam kehidupan peminat berbanding aktiviti kekeluargaan.

Wednesday, December 10, 2008

Kisah Player Yang Berambut Badut

Valderrama sukar dicari ganti


VALDERRAMA pemain tengah yang serba boleh serta memiliki daya kreativiti melancarkan gerakan untuk mencipta ruang kepada rakan melakukan jaringan.


CARLOS VALDERRAMA adalah pemain terhebat pernah dilahirkan oleh Colombia. Dia dikenali seantero dunia.Bukan setakat aksi lincahnya, tetapi dikenali ramai kerana penampilannya.

Dia satu-satunya pemain pada zamannya yang berambut 'afro' perang sehingga menjadi ikutan generasi muda.

Pemain tengah serba boleh ini memang tiada tandingan, baik dari segi kebijaksanaan mengawal bola mahupun daya kreativiti ketika melancarkan gerak untuk mencipta ruang kepada rakannya melakukan jaringan.

Sehingga ke hari ini, Colombia masih sukar untuk mencari penggantinya dan atas sebab itulah dia dilabel sebagai pemain paling hebat pernah dilahirkan oleh negara tersebut.

Valderrama dilahirkan pada 2 September 1961 di Santa Marta, Colombia.

Karier antarabangsanya bersama Colombia bermula pada tahun 1985 hingga 1998 dan telah beraksi dalam 111 perlawanan antarabangsa menjadikannya pemian paling banyak beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Rakyat Colombia menganggapnya sebagai pemain yang sukar dicari ganti sehingga ke hari ini. Valderrama atau nama samarannya, El Pibe (The Kid) adalah seorang pemain yang cukup unik.




Kebijaksanaannya sukar ditandingi dan dia boleh mengubah rentak permainan pasukannya apabila berada dalam tekanan.

Kawalan bolanya kemas, hantarannya tepat, pantas serta mempunyai sepakan yang cukup mengelirukan.

Segala apa yang ada semua dimilikinya, tetapi sayang ketika zaman puncaknya, dia gagal membantu Colombia meraih gelaran Piala Dunia.

Valderrama telah menjadi kapten skuad kebangsaan Colombia dalam tiga Piala Dunia iaitu pada tahun 1990, 1994, dan 1998 sebelum mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa selepas Piala Dunia 1998.

Dia mempunyai 111 cap antarabangsa dan telah menjaringkan 11 gol.

Sehingga ke hari ini, ramai yang masih ingat bagaimana gerakannya ketika membantu Colombia melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 1990 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Jerman.

Ia perlawanan penting buat Colombia kerana jika kalah mereka akan tersingkir.

Pada perlawanan itu, lorongan Valderrama telah membuka peluang kepada penyerang mereka, Freddy Rincon untuk menyamakan kedudukan sekali gus melangkah ke pusingan kedua buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak tewas kepada Jerman pada kejohanan itu.




Sepanjang kariernya, dia telah membantu kelab Athletico Junior menjuarai Liga Bola Sepak Colombia pada tahun 1993 dan 1995.

Dia bermula dengan kelab Unión Magdalena dalam Liga Divisyen Satu Colombia pada tahun 1981.

Dia juga pernah menyertai kelab Millonarios dan Deportivo Cali sebelum menyertai Montpellier dalam Liga Divisyen Satu Perancis pada tahun 1988.

Selepas itu dia menyertai Independiente Medellín dan Atlético Junior dari tahun 1993-96 sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat untuk meneruskan kariernya dengan kelab Tampa Bay Mutiny bagi musim 1996-97, 2000-01, Miami Fusion (1998-99), dan Colorado Rapids (2001-02).

Ketika beraksi dalam Major League Amerika itu, Valderrama telah mencatatkan 16 jaringan dan ia dianggap terbaik bagi seorang pemain tengah.

Pada musim 2005, dia dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik MLS Amerika selain menerima pengiktirafan pemain paling unggul pada abad ke-20 oleh legenda bola sepak Brazil, Pele pada tahun 1999.

Selepas 22 tahun mengabdikan diri dalam bola sepak, Valderrama akhirnya membuat keputusan untuk bersara pada bulan Februari 2004 dan persaraannya diraikan dalam satu perlawanan khas di Stadium Metropolitan, Barranquilla yang turut disertai oleh nama-nama hebat di Amerika Selatan seperti Diego Maradona, Enzo Francescoli dan Jose Luis Chilavert.

Selepas persaraannya, dia tetap memilih bola sepak sebagai karier tetapi kembali sebagai penolong pengurus dengan kelab lamanya, Atlético Junior.

Valderrama yang mempunyai tiga orang anak merupakan satu-satunya pemain Colombia yang disenaraikan dalam buku pemain terhebat FIFA pada bulan Mac 2004